Tuesday, December 14, 2010

Bait Muslim Qudwah.


Di University of Melbourne, Australia 2008. 
Mahasiswa dan mahasiswi Malaysia yang berumahtangga di Negara-negara Barat atau di mana-mana luar negara sering dijadikan qudwah (contoh tauladan) atau sekurang-kurangnya penaung oleh pelajar-pelajar yang belum berkahwin di sana, khususnya pelajar-pelajar “undergraduate” (pra-siswazah). Ini yang pernah saya rasakan ketika menuntut di Australia sekitar tahun-tahun 1980an dahulu. Bahkan kekadang mereka dirasakan seperti “abah dan emak” atau “Along dan Kak Long” tempat mengadu, salah satu sumber kekuatan untuk menjaga iman ketika hidup di tengah-tengah masyarakat Barat yang penuh dengan pancaroba. Saya masih ingat, semasa di tahun pertama di Australia tahun 1983, di waktu-waktu biasa atau ketika gundah gelana, saya akan pergi menziarahi pasangan suami isteri dikalangan para Duat yang tinggal berdekatan semata-mata untuk mendapat kekuatan dari hidup berjemaah di rantau orang. Walaupun jarak usia antara kami hanya beberapa tahun tetapi keadaan mereka berpasangan seperti itu cukup menjadikan mereka seperti ayah dan ibu saudara saya sendiri. Walaupun yang dihidangkannya hanya secawan teh, cekodok atau spaghetti (mee) goreng tetapi suasana seperti itu saya rasakan seperti masakan emak saya sendiri. Ia adalah kenangan ukhuwwah yang boleh menitiskan air mata walaupun telah berlalu lebih 25 tahun yang lalu.
Oleh kerana di dalam Jalan Dakwah, “qudwah” (teladan) merupakan salah satu faktor utama kejayaan Tarbiyah kepada para Pendakwah, pasangan-pasangan yang berumahtangga mesti menyedari hakikat  ini dan harus memastikan perkara-perkara berikut :
  1. Amal Dakwah tidak berkurangan selepas mereka berumahtangga berbanding dengan semasa mereka belum berkahwin. Kekadang terdengar rungutan mengatakan ada mahasiswi yang menjadi kurang aktif selepas berkahwin berbanding sebelumnya. Kita berharap rungutan itu tidak berlaku atau jika benar ia berlaku, ia segera dibaiki.
  2. Suami tidak “mengurung” isterinya di rumah menjadikaan Dakwah kehilangan seorang lagi pendakwah wanita yang berkaliber, dengan hujjah tugas seorang isteri hanyalah semata-mata  di rumah, dan semata-mata untuk suaminya. Kepada beliau kita bertanya, tidakkah ramai para Duat memperoleh isteri mereka yang solehah hasil dari didikan Dakwah ini, bahkan sesetengahnya melalui Dakwah ini ?
  3. Jika bebanan pelajaran sangat besar, mahasiswa/i yang berkahwin mestilah merancang masa mereka dengan baik agar tidak banyak terbuang. Dalam suasana tertentu seperti musim peperiksaan, pernah saya dan isteri memasak kari ayam untuk 3 hari, menyimpannya di peti sejuk dan memanaskannya setiap kali hendak makan. Ia boleh berlanjutan sehingga lebih dari sebulan lamanya.
  4. Bertemu dan berinteraksi sesama manusia adalah salah satu faktor penting dalam Tarbiyah dan juga Dakwah. Kalangan mahasiswa mudah bertemu di masjid dan di padang permainan, berbanding mahasiswi. Oleh itu faktor dan suasana rumah kediaman atau tempat tinggal adalah sangat penting bagi perkembangan prestasi Tarbiyah dan Dakwah  mereka. Untuk itu ketika dialam pengajian dahulu saya sering merancang agar isteri saya sering berada di rumah mahasiswi dan saya saya sendiri menjaga anak-anak supaya dia lebih fokus dalam bermuayashah (berinteraksi) sesama mereka.
  5. Sentiasa mengingati niat dan harapan kita sebelum mendirikan rumahtangga, iaitu  tidak lain selain untuk Agama yang tercinta dan untuk Dakwah yang kita  perjuangkan. Mengingatinya akan banyak membantu menyelamatkan kita dari tergelincir ke arah tarikan godaan dunia dan menguatkan jiwa untuk bekerja dengan lebih kuat untuk Allah swt.
  6. Sentiasa berjimat dalam berbelanja, walaupun anda dalam kemewahan atau mempunyai simpanan wang yang banyak. Banyak masalah rumahtangga di Malaysia berpunca dari masalah kelemahan pengurusan wang suami isteri.  Penyelesaiannya ialah belajar lebih awal cara berjimat dan mengurus wang ketika di alam pengajian.
  7. Pastikan rumah sentiasa kemas dan mudah menerima tetamu pada bila-bila masa. Kata-kata sebahagian orang kita “Rumahku Syurgaku”  sebagai tempat penenang hati dan merehatkan saraf boleh juga kita panggil “Rumahku Markazku” sebagai tempat bertandang para tetamu dikalangan teman-teman seperjuangan, para mad’u (orang-orang yang didakwahkan) maupun masyarakat umum.
  8. Menggalakkan berkahwin awal di luar negara agar membantu perdidikan diri pasangan berkenaan di satu aspek, dan membantu Dakwah diaspek yang lain.
Pergaulan dikalangan sesama Duat memberi kesan langsung dalam pembentukan peribadi mereka. Mereka yang telah berumahtangga mempunyai tanggungjawab yang berat dalam menunjukkan prestasi Dakwah yang lebih mantap kerana telah menyempurnakan sebahagian dari Agama mereka dan meluas kerana kini dakwahnya meliputi kedua-dua golongan lelaki dan wanita. Oleh kerana itu kita menggalakkan mereka berkahwin seawal boleh semasa di tahun-tahun awal menuntut di luar negara, tanpa berlengah lagi.
Harapan kita ialah Bait Muslim Qudwah semasa di alam pengajian akan terus bertambah bilangannya dan berterusan menjadi Bait-bait Muslim yang banyak bilangannya dan tersebar di seluruh tanahair lalu menjadi qudwah kepada segenap masyarakat dan rakyat jelata. Ini adalah faktor yang terkuat dalam membuat perubahan kepada Negara ke arah Islam hakiki lagi sejati yang kita impikan.

PadaMu tempat ku meminta.

Saban hari aku makin mengerti betapa hari-hari yang aku lalui menuntut aku untuk menambahkan kesyukuran semuanya kerana Allah swt yang tidak pernah lekang daripada memberikan yang terbaik dalam hidup aku ini.

Alhamdulillah Allah telah memudahkan banyak urusan.

... Jika tahun lepas, graduate sebagai graduan Bachelor of Science (Biotechnology), tahun ini telah pun graduate sebagai graduan Bachelor of Health Science (Honours) ....

Sujud syukur atas kasih sayang Allah.

... Jika tahun sebelumnya dianugerahkan 'anak-anak' yang mantap, tahun ini tidak kurang hebatnya dengan kelibat cinta yang lebih gemerlap. Ada yang baru, yang lama bertambah kukuh, yang berada pada jagaan sahabat-sahabat pun akrab ...

Air mata keinsafan atas kasih sayang Allah.

... Jika tahun-tahun lepas, hidup sendiri-sendiri, tahun ini ada janji cinta yang Allah sedang kotakan. Asy-Syura (42): 49 ...

Ada kisah gembira pada jernih titisan berkaca pada pipi.

"Dan bersabarlah engkau (wahai Muhammad) dengan orang yang menyeru Tuhannya pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran." Al-Kahfi (18): 28 ....

Moga thabat dan syadid, insyaAllah. 

Jzkk kepada semua yang mendoakan. 

Baju Melayu Vs Baju Kurung


Kalau perempuan tidak boleh memasak, dikutuk dan disuruh belajar. Kalau lelaki tak boleh jadi imam kita kata okay saja.
Jangan diperbesarkan nanti mereka terasa hati.

"Apalah perempuan, tak pandai masak siapa nak kahwin dengan awak!" Begitulah kata rakan sejawat lelaki pada seorang anak dara, juga rakan sejawat kami.

Maka jawaplah si gadis ayu itu yang dia tidak sempat belajar memasak sebab dari kecil tidak digalakkan keluarga sebaliknya di suruh menumpukan perhatian pada pelajaran saja.

Setelah tinggal di asrama, peluang pulang ke rumah terhad dan tidak sempat turun ke dapur membantu ibunya.
''Habis sekarang kenapa tidak belajar?" Tanya sang lelaki lagi dengan penuh semangat.

''Sedang belajarlah ni tetapi selain sibuk dengan kerjaya saya juga sibuk belajar agama, jadi belajar memasak tetap tidak diutamakan!" Begitu jawab si gadis yang membuatkan lelaki tadi menggeleng-geleng kepala.

Baginya tidak sempurna seorang wanita jika tidak tahu memasak. Wanita sepatutnya buat begitu juga.
Syarat utama menjadi suami mesti boleh menjadi imam.

Walau ada yang kata, jika itu syaratnya bermakna makin ramai wanita yang hidup bujang seumur hidup.

Lelaki meletakkan kebolehan wanita di dapur sebagai perkara utama dan ungkapan hendak memikat suami, perlu pikat seleranya sering diguna pakai.

Tidak kiralah jika wanita itu berpelajaran atau berjawatan tinggi dan penyumbang utama kewangan dalam rumahtangganya.
Sekarang bukan asing lagi gaji isteri lebih tinggi daripada suami.

Namun kedudukan suami sebagai raja tidak pernah dilupa walau dia tidak mengambil inisiatif mempelajari ilmu menjadi imam.

Ilmu bermain video game di komputer mereka rasa lebih perlu.

Kalau tidak tahu memasak disuruh belajar dan sesudah belajar perlu handal.

Jika handal bukan setakat masak untuk keluarga sendiri, kalau boleh perlu boleh memasak untuk tiga pasukan bola. Begitulah standard yang telah ditetapkan.

Bolehkah kita meletakkan undang-undang itu kepada lelaki juga? Kalau tidak pandai jadi imam, belajarlah.

Mula-mula jadi imam kepada keluarga sendiri, sudah terror boleh mengimam satu taman perumahan juga.

"Sibuk suruh kita handal memasak, mereka tu bolehkah jadi imam?" Dengus teman wanita yang lain.

Betul juga ya? Berapa kerat lelaki yang menjadikan sembahyang jemaah di rumah bersama anak isteri sebagai agenda utama, selain keperluan memenuhi pelbagai seleranya?

Maka bertanyalah wanita kini kepada beberapa lelaki tentang kebolehan yang satu ini.

Ternyata ramai yang menjawab tidak confident menjadi imam sebab takut bacaan al-Fatihah tidak sempurna, salah tajwid atau pun dia merasakan isterinya lebih handal.

Ada yang kata lebih elok dia dan isteri sembahyang sendiri-sendiri.

Ada juga menjawab, rasa kelakar pula apabila dirinya yang rugged menjadi imam.

Isu ini sepatutnya kita beratkan sepertimana masyarakat memberatkan wanita perlu pandai memasak jika mahu bersuami.

Lelaki juga harus boleh menjadi imam supaya kewibawaan mereka sebagai ketua keluarga tidak goyah atau menjadi mangsa 'queen control'.

Kalau tidak pandai, belajarlah sekarang. Jika wanita disuruh belajar, apa salahnya lelaki!

Wednesday, June 23, 2010

Ziwaj Da’awi…. tanda wafa’ seorang rijal

http://muntalaq.wordpress.com/2010/06/21/ziwaj-daawi-tanda-wafa-seorang-rijal/

Ketika anda ketemu seorang lelaki yang begitu bersemangat, anda mungkin menganggapnya mantap dalam fikrah, cekal dalam azam dan akan mengorbankan segala-galanya untuk dakwah yang diyakininya.
Tapi bila berdepan dengan masa menentukan pilihan zaujah, anda tiba-tiba kecewa dengannya. Bukan kerana masalah atau paksaan keluarga, bukan kerana tekanan janji lama atau lain-lain uzur yang mungkin boleh diterima, tetapi ia kalah kerana sebab yang anda ragui kesanggupan pengorbanannya untuk dakwah.
Dia mungkin bersungguh-sungguh mencari seorang mad’u dan menDF, tapi dengan mudah ia membiarkan seorang ukhti yang telah lama berkorban dan bersedia untuk berkorban lagi, tetapi terpaksa terkorban kerana menjadi ahli baitul muslim yang tak ketentuan masa depannya.
Apakah hanya kerana umur yang hanya lebih banyak beberapa hari (ya… beberapa tahun lebih tua juga adalah beberapa hari), maka ia sanggup membiarkan seorang ukhti dilarikan arus keperluan kehidupan biasa dan kembali menjadi manusia biasa kategori MB atau MC?? Adakah hanya kerana wajah yang tidak secantik artis hiasan media massa maka ia sanggup korbankan manusia yang telah ditarbiyyah begitu lama oleh sang murabbiyah? Adakah kerana hanya untuk mengikuti kehendak mata dan ‘kononnya melaksanakan hadis dinikahi wanita kerana kecantikannya…..’ maka ia sanggup hanya melihat seorang ukhti dibawa kembali secara paksa atas kuasa seorang suami ke cara ‘hidup selesa’ dan ‘harmoni’?
Tidak…
tidak mungkin seorang rijal yang wafa’ (setia) dengan dakwahnya untuk membiarkan dirinya hanya melihat dakwah surut kerana kehilangan tenaga-tenaga yang telah di asuh dan di bina dengan susah payah tangan murabbiyah. Tidak mungkin juga seorang rijal sanggup gembira dengan rumahtangga barunya dari zaujah yang entah dari mana dan dia hidup heppi sedangkan akhawat di sana-sini menangis di heret ke alam hidup lama mereka kembali, bukan kerana kerelaan hati mereka.
Sampai bila kita hanya akan menjadi orang yang hanya berkorban harta dan tenaga tetapi tidak sanggup untuk mengorbankan keinginan mendirikan rumah tangga dengan pilihan ala ‘artis’nya.
Sungguh terharu mendengar ungkapan seorang sahabat:
“…. jika tidak kerana halangan keluarga, tidak kerana memelihara imej dakwah dan tidak kerana kekangan tohmahan masyarakat, nescaya ku lengkapkan bilangan 4 mengikut sunnah para sahabat demi menyelamatkan dakwah kita…. tetapi………………………….”

Sunday, March 21, 2010

Setia seorang isteri - Wildan

Wednesday, February 3, 2010

Jangan sekadar syurga dunia.

saifulislam

“Saya perlu bernikah, ustaz. Sangat perlu” ujar seorang anak muda.
“Mungkin tidak patut ustaz menyoal, tetapi KENAPA?” soalan saya ajukan kepadanya.
Bukan kenapa nikah, tetapi mengapa begitu terdesak.
“Tidak tenteram. Ada gelodak jiwa” katanya.
“Justeru selepas nikah nanti, kalau sudah tenteram dan jiwa kembali tenang, apa seterusnya?” saya menyambung pertanyaan.
“Tenteram itu bukankah sentiasa perlu? Jadi perlukah ada ’seterusnya’, ustaz? Saya keliru,” katanya jujur.

“Izinkan ustaz berterus terang. Jika tenang dan tenteram yang anta maksudkan itu adalah pada nikmat beristeri dan menikmati isteri, hati-hati dengan tabiat nikmat dunia,” saya tidak mahu berbunga kata.
“Tabiat yang bagaimana?” beliau agak kabur dengan perbualan kami.
“Kalau ustaz pakar sambal sotong, ustaz hidangkan kepada anta buat kali pertama, Alhamdulillah. Tengah hari nanti sambal sotong juga, Alhamdulillah. Makan malam nanti sambal sotong lagi, Alhamdulillah. Bagaimana jika sarapan pagi esoknya juga sambal sotong dan tengah hari itu juga berlaukkan sambal sotong. Kamu mampu menjamahnya lagi?” saya beranalogi.
“Aduh, boleh muntah dibuatnya. Jangan, ustaz!” katanya sambil ketawa.
“Benar. Segala nikmat di dunia, biar sesedap mana pun ia, sedapnya semasa lapar, semasa bujang, semasa belum merasa. Tetapi kalau sudah dirasa, diulang rasa, berterusan merasa, bisa sahaja yang sedap menjadi hambar” saya menyambung kalam.
“Jadi, apa yang cuba ustaz beritahu saya?” soal beliau.
Pernikahan, jangan sekadar satu penyelesaian. Ia harus lebih besar dari itu” saya memberikan kesimpulan.
NIKAH UNTUK SELESAI
Tidak salah untuk percaya bahawa pernikahan boleh menyelesaikan banyak masalah. Itulah hikmahnya pada Sunnah bernikah.
Tetapi kekhuatiran yang timbul, ialah apabila sebuah ikatan perkahwinan mahu dilangsungkan hanya untuk menyelesaikan masalah tertentu, dan selepas masalah itu selesai, perkahwinan itu hilang tujuan! Menjadikan perkahwinan sebagai penyelesaian, hanyalah sebuah hasrat berupa perancangan jangka pendek. Sedangkan untuk sebuah rumahtangga terus membuka laluan sampai ke Syurga, ia perlu kepada perancangan jangka panjang.
Sepanjang kehidupan.
Kebelakangan ini saya dihimpit rasa bimbang.
Tatkala hari demi hari didatangi pasangan yang berkahwin muda mengadu masalah, saya memaksa diri untuk berfikir dan mencari sudut-sudut tersembunyi (blind spot) di dalam tasawwur seorang anak muda semasa mahu bernikah.
“Saya bosan tengok isteri saya ustaz. Salahkah saya berperasaan begitu?” tanya seorang anak muda.
Jantung saya berdebar.
Merenung matanya, saya dapat merasakan ada semacam satu kehampaan di dalam dirinya kerana terbeban oleh perasaan yang gagal disembunyikannya. Syukur, sekurang-kurangnya dia mahu bertanya. Di samping berusaha menemukan jawapan, saya juga dapat belajar sesuatu untuk diri dan dikongsi dengan yang lain.
Bagaimana boleh bosan?
Saya harus mencari jawapan pada titik mula dan titik tengah soalan itu.
Justeru untuk mencari penjelasan pada titik mula, saya persoalkan tujuan perkahwinannya semasa di tahun 2 pengajian lebih setahun yang lalu.
“Kami selalu berjumpa. Saya bimbang hati terus terfitnah memikirkan tentangnya. Alhamdulillah saya tidak bertepuk sebelah tangan. Biar pun ayah dan ibu kami agak berat untuk menyatakan persetujuan, tetapi syukur akhirnya mereka merestui,” cerita beliau.
“Alhamdulillah.Jadi, sekarang ini, adakah anta sudah mendapat apa yang dicari?” saya bertanya.
“Ya, cuma…” beliau teragak-agak menyebut.
“”Cumanya sekarang anta sedang dilanda jemu, kan?” saya sambungkan ayatnya yang tidak langsai itu.
Tatkala kita mengejar sebuah ikatan perkahwinan sebagai jalan keluar kepada apa-apa sahaja masalah yang sedang dihadapi, syukur jika masalah itu selesai, dan syukur juga jika masalah itu belum selesai. Sekurang-kurangnya dia masih punya sesuatu untuk diusahakan dalam sebuah perkahwinan. Namun bagi yang masalah sudah selesai di tahun satu pernikahannya, apa lagi cita-cita dan azam yang ada dalam visi dan misinya bagi melangsungkan usia perkahwinan?
Daripada gelisah menjadi tenang dengan nikah.
Timbul jemu, mahu mencari tenang dengan membatalkan nikah?
Naudhubillah
Tidak sedikit air mata sang isteri tumpah semasa suami mereka berterus terang berkata, “mengahwinimu adalah suatu kesilapan!”
Sepatutnya masalah seperti ini tidak timbul.
Tetapi realiti sering meninggalkan banyak ’sepatutnya’ terkontang-kanting menjauhi kesempurnaan.
Perkahwinan menyelesaikan.
Tetapi ia bukan sekadar sebuah penyelesaian.
Ia adalah sebuah gagasan.
Impian yang memerlukan pandanganmu jauh sampai ke usia tua, sampai cangkul dan tanah memisahkan jiwa, sampai ke kubur, sampai kamu ke Syurga.
Jadikanlah perkahwinan itu kenderaan yang membawa dirimu untuk ke Syurga Akhirat.
Jangan sekadar syurga dunia.
“Saling berpesan-pesanlah kamu tentang para isteri agar berlaku baik kepada mereka. Sesungguhnya kamu mengambil (menikahi) mereka dengan amanah daripada Allah dan dihalalkan untukmu kemaluan mereka adalah dengan Kalimah Allah” [Hadith riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
saifulislam 

Bulan madu.

Alhamdulillah. Genap 20 hari sejak hari di mana pertalian antara dua insan berbeza dihalalkan oleh suatu lafaz yang Allah berikan azimat ke dalamnya.

Moga hari ini lebih baik daripada semalam. InsyaAllah. Doakan kami.