Tuesday, December 14, 2010

Bait Muslim Qudwah.


Di University of Melbourne, Australia 2008. 
Mahasiswa dan mahasiswi Malaysia yang berumahtangga di Negara-negara Barat atau di mana-mana luar negara sering dijadikan qudwah (contoh tauladan) atau sekurang-kurangnya penaung oleh pelajar-pelajar yang belum berkahwin di sana, khususnya pelajar-pelajar “undergraduate” (pra-siswazah). Ini yang pernah saya rasakan ketika menuntut di Australia sekitar tahun-tahun 1980an dahulu. Bahkan kekadang mereka dirasakan seperti “abah dan emak” atau “Along dan Kak Long” tempat mengadu, salah satu sumber kekuatan untuk menjaga iman ketika hidup di tengah-tengah masyarakat Barat yang penuh dengan pancaroba. Saya masih ingat, semasa di tahun pertama di Australia tahun 1983, di waktu-waktu biasa atau ketika gundah gelana, saya akan pergi menziarahi pasangan suami isteri dikalangan para Duat yang tinggal berdekatan semata-mata untuk mendapat kekuatan dari hidup berjemaah di rantau orang. Walaupun jarak usia antara kami hanya beberapa tahun tetapi keadaan mereka berpasangan seperti itu cukup menjadikan mereka seperti ayah dan ibu saudara saya sendiri. Walaupun yang dihidangkannya hanya secawan teh, cekodok atau spaghetti (mee) goreng tetapi suasana seperti itu saya rasakan seperti masakan emak saya sendiri. Ia adalah kenangan ukhuwwah yang boleh menitiskan air mata walaupun telah berlalu lebih 25 tahun yang lalu.
Oleh kerana di dalam Jalan Dakwah, “qudwah” (teladan) merupakan salah satu faktor utama kejayaan Tarbiyah kepada para Pendakwah, pasangan-pasangan yang berumahtangga mesti menyedari hakikat  ini dan harus memastikan perkara-perkara berikut :
  1. Amal Dakwah tidak berkurangan selepas mereka berumahtangga berbanding dengan semasa mereka belum berkahwin. Kekadang terdengar rungutan mengatakan ada mahasiswi yang menjadi kurang aktif selepas berkahwin berbanding sebelumnya. Kita berharap rungutan itu tidak berlaku atau jika benar ia berlaku, ia segera dibaiki.
  2. Suami tidak “mengurung” isterinya di rumah menjadikaan Dakwah kehilangan seorang lagi pendakwah wanita yang berkaliber, dengan hujjah tugas seorang isteri hanyalah semata-mata  di rumah, dan semata-mata untuk suaminya. Kepada beliau kita bertanya, tidakkah ramai para Duat memperoleh isteri mereka yang solehah hasil dari didikan Dakwah ini, bahkan sesetengahnya melalui Dakwah ini ?
  3. Jika bebanan pelajaran sangat besar, mahasiswa/i yang berkahwin mestilah merancang masa mereka dengan baik agar tidak banyak terbuang. Dalam suasana tertentu seperti musim peperiksaan, pernah saya dan isteri memasak kari ayam untuk 3 hari, menyimpannya di peti sejuk dan memanaskannya setiap kali hendak makan. Ia boleh berlanjutan sehingga lebih dari sebulan lamanya.
  4. Bertemu dan berinteraksi sesama manusia adalah salah satu faktor penting dalam Tarbiyah dan juga Dakwah. Kalangan mahasiswa mudah bertemu di masjid dan di padang permainan, berbanding mahasiswi. Oleh itu faktor dan suasana rumah kediaman atau tempat tinggal adalah sangat penting bagi perkembangan prestasi Tarbiyah dan Dakwah  mereka. Untuk itu ketika dialam pengajian dahulu saya sering merancang agar isteri saya sering berada di rumah mahasiswi dan saya saya sendiri menjaga anak-anak supaya dia lebih fokus dalam bermuayashah (berinteraksi) sesama mereka.
  5. Sentiasa mengingati niat dan harapan kita sebelum mendirikan rumahtangga, iaitu  tidak lain selain untuk Agama yang tercinta dan untuk Dakwah yang kita  perjuangkan. Mengingatinya akan banyak membantu menyelamatkan kita dari tergelincir ke arah tarikan godaan dunia dan menguatkan jiwa untuk bekerja dengan lebih kuat untuk Allah swt.
  6. Sentiasa berjimat dalam berbelanja, walaupun anda dalam kemewahan atau mempunyai simpanan wang yang banyak. Banyak masalah rumahtangga di Malaysia berpunca dari masalah kelemahan pengurusan wang suami isteri.  Penyelesaiannya ialah belajar lebih awal cara berjimat dan mengurus wang ketika di alam pengajian.
  7. Pastikan rumah sentiasa kemas dan mudah menerima tetamu pada bila-bila masa. Kata-kata sebahagian orang kita “Rumahku Syurgaku”  sebagai tempat penenang hati dan merehatkan saraf boleh juga kita panggil “Rumahku Markazku” sebagai tempat bertandang para tetamu dikalangan teman-teman seperjuangan, para mad’u (orang-orang yang didakwahkan) maupun masyarakat umum.
  8. Menggalakkan berkahwin awal di luar negara agar membantu perdidikan diri pasangan berkenaan di satu aspek, dan membantu Dakwah diaspek yang lain.
Pergaulan dikalangan sesama Duat memberi kesan langsung dalam pembentukan peribadi mereka. Mereka yang telah berumahtangga mempunyai tanggungjawab yang berat dalam menunjukkan prestasi Dakwah yang lebih mantap kerana telah menyempurnakan sebahagian dari Agama mereka dan meluas kerana kini dakwahnya meliputi kedua-dua golongan lelaki dan wanita. Oleh kerana itu kita menggalakkan mereka berkahwin seawal boleh semasa di tahun-tahun awal menuntut di luar negara, tanpa berlengah lagi.
Harapan kita ialah Bait Muslim Qudwah semasa di alam pengajian akan terus bertambah bilangannya dan berterusan menjadi Bait-bait Muslim yang banyak bilangannya dan tersebar di seluruh tanahair lalu menjadi qudwah kepada segenap masyarakat dan rakyat jelata. Ini adalah faktor yang terkuat dalam membuat perubahan kepada Negara ke arah Islam hakiki lagi sejati yang kita impikan.

PadaMu tempat ku meminta.

Saban hari aku makin mengerti betapa hari-hari yang aku lalui menuntut aku untuk menambahkan kesyukuran semuanya kerana Allah swt yang tidak pernah lekang daripada memberikan yang terbaik dalam hidup aku ini.

Alhamdulillah Allah telah memudahkan banyak urusan.

... Jika tahun lepas, graduate sebagai graduan Bachelor of Science (Biotechnology), tahun ini telah pun graduate sebagai graduan Bachelor of Health Science (Honours) ....

Sujud syukur atas kasih sayang Allah.

... Jika tahun sebelumnya dianugerahkan 'anak-anak' yang mantap, tahun ini tidak kurang hebatnya dengan kelibat cinta yang lebih gemerlap. Ada yang baru, yang lama bertambah kukuh, yang berada pada jagaan sahabat-sahabat pun akrab ...

Air mata keinsafan atas kasih sayang Allah.

... Jika tahun-tahun lepas, hidup sendiri-sendiri, tahun ini ada janji cinta yang Allah sedang kotakan. Asy-Syura (42): 49 ...

Ada kisah gembira pada jernih titisan berkaca pada pipi.

"Dan bersabarlah engkau (wahai Muhammad) dengan orang yang menyeru Tuhannya pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran." Al-Kahfi (18): 28 ....

Moga thabat dan syadid, insyaAllah. 

Jzkk kepada semua yang mendoakan. 

Baju Melayu Vs Baju Kurung


Kalau perempuan tidak boleh memasak, dikutuk dan disuruh belajar. Kalau lelaki tak boleh jadi imam kita kata okay saja.
Jangan diperbesarkan nanti mereka terasa hati.

"Apalah perempuan, tak pandai masak siapa nak kahwin dengan awak!" Begitulah kata rakan sejawat lelaki pada seorang anak dara, juga rakan sejawat kami.

Maka jawaplah si gadis ayu itu yang dia tidak sempat belajar memasak sebab dari kecil tidak digalakkan keluarga sebaliknya di suruh menumpukan perhatian pada pelajaran saja.

Setelah tinggal di asrama, peluang pulang ke rumah terhad dan tidak sempat turun ke dapur membantu ibunya.
''Habis sekarang kenapa tidak belajar?" Tanya sang lelaki lagi dengan penuh semangat.

''Sedang belajarlah ni tetapi selain sibuk dengan kerjaya saya juga sibuk belajar agama, jadi belajar memasak tetap tidak diutamakan!" Begitu jawab si gadis yang membuatkan lelaki tadi menggeleng-geleng kepala.

Baginya tidak sempurna seorang wanita jika tidak tahu memasak. Wanita sepatutnya buat begitu juga.
Syarat utama menjadi suami mesti boleh menjadi imam.

Walau ada yang kata, jika itu syaratnya bermakna makin ramai wanita yang hidup bujang seumur hidup.

Lelaki meletakkan kebolehan wanita di dapur sebagai perkara utama dan ungkapan hendak memikat suami, perlu pikat seleranya sering diguna pakai.

Tidak kiralah jika wanita itu berpelajaran atau berjawatan tinggi dan penyumbang utama kewangan dalam rumahtangganya.
Sekarang bukan asing lagi gaji isteri lebih tinggi daripada suami.

Namun kedudukan suami sebagai raja tidak pernah dilupa walau dia tidak mengambil inisiatif mempelajari ilmu menjadi imam.

Ilmu bermain video game di komputer mereka rasa lebih perlu.

Kalau tidak tahu memasak disuruh belajar dan sesudah belajar perlu handal.

Jika handal bukan setakat masak untuk keluarga sendiri, kalau boleh perlu boleh memasak untuk tiga pasukan bola. Begitulah standard yang telah ditetapkan.

Bolehkah kita meletakkan undang-undang itu kepada lelaki juga? Kalau tidak pandai jadi imam, belajarlah.

Mula-mula jadi imam kepada keluarga sendiri, sudah terror boleh mengimam satu taman perumahan juga.

"Sibuk suruh kita handal memasak, mereka tu bolehkah jadi imam?" Dengus teman wanita yang lain.

Betul juga ya? Berapa kerat lelaki yang menjadikan sembahyang jemaah di rumah bersama anak isteri sebagai agenda utama, selain keperluan memenuhi pelbagai seleranya?

Maka bertanyalah wanita kini kepada beberapa lelaki tentang kebolehan yang satu ini.

Ternyata ramai yang menjawab tidak confident menjadi imam sebab takut bacaan al-Fatihah tidak sempurna, salah tajwid atau pun dia merasakan isterinya lebih handal.

Ada yang kata lebih elok dia dan isteri sembahyang sendiri-sendiri.

Ada juga menjawab, rasa kelakar pula apabila dirinya yang rugged menjadi imam.

Isu ini sepatutnya kita beratkan sepertimana masyarakat memberatkan wanita perlu pandai memasak jika mahu bersuami.

Lelaki juga harus boleh menjadi imam supaya kewibawaan mereka sebagai ketua keluarga tidak goyah atau menjadi mangsa 'queen control'.

Kalau tidak pandai, belajarlah sekarang. Jika wanita disuruh belajar, apa salahnya lelaki!