Tuesday, December 14, 2010

Bait Muslim Qudwah.


Di University of Melbourne, Australia 2008. 
Mahasiswa dan mahasiswi Malaysia yang berumahtangga di Negara-negara Barat atau di mana-mana luar negara sering dijadikan qudwah (contoh tauladan) atau sekurang-kurangnya penaung oleh pelajar-pelajar yang belum berkahwin di sana, khususnya pelajar-pelajar “undergraduate” (pra-siswazah). Ini yang pernah saya rasakan ketika menuntut di Australia sekitar tahun-tahun 1980an dahulu. Bahkan kekadang mereka dirasakan seperti “abah dan emak” atau “Along dan Kak Long” tempat mengadu, salah satu sumber kekuatan untuk menjaga iman ketika hidup di tengah-tengah masyarakat Barat yang penuh dengan pancaroba. Saya masih ingat, semasa di tahun pertama di Australia tahun 1983, di waktu-waktu biasa atau ketika gundah gelana, saya akan pergi menziarahi pasangan suami isteri dikalangan para Duat yang tinggal berdekatan semata-mata untuk mendapat kekuatan dari hidup berjemaah di rantau orang. Walaupun jarak usia antara kami hanya beberapa tahun tetapi keadaan mereka berpasangan seperti itu cukup menjadikan mereka seperti ayah dan ibu saudara saya sendiri. Walaupun yang dihidangkannya hanya secawan teh, cekodok atau spaghetti (mee) goreng tetapi suasana seperti itu saya rasakan seperti masakan emak saya sendiri. Ia adalah kenangan ukhuwwah yang boleh menitiskan air mata walaupun telah berlalu lebih 25 tahun yang lalu.
Oleh kerana di dalam Jalan Dakwah, “qudwah” (teladan) merupakan salah satu faktor utama kejayaan Tarbiyah kepada para Pendakwah, pasangan-pasangan yang berumahtangga mesti menyedari hakikat  ini dan harus memastikan perkara-perkara berikut :
  1. Amal Dakwah tidak berkurangan selepas mereka berumahtangga berbanding dengan semasa mereka belum berkahwin. Kekadang terdengar rungutan mengatakan ada mahasiswi yang menjadi kurang aktif selepas berkahwin berbanding sebelumnya. Kita berharap rungutan itu tidak berlaku atau jika benar ia berlaku, ia segera dibaiki.
  2. Suami tidak “mengurung” isterinya di rumah menjadikaan Dakwah kehilangan seorang lagi pendakwah wanita yang berkaliber, dengan hujjah tugas seorang isteri hanyalah semata-mata  di rumah, dan semata-mata untuk suaminya. Kepada beliau kita bertanya, tidakkah ramai para Duat memperoleh isteri mereka yang solehah hasil dari didikan Dakwah ini, bahkan sesetengahnya melalui Dakwah ini ?
  3. Jika bebanan pelajaran sangat besar, mahasiswa/i yang berkahwin mestilah merancang masa mereka dengan baik agar tidak banyak terbuang. Dalam suasana tertentu seperti musim peperiksaan, pernah saya dan isteri memasak kari ayam untuk 3 hari, menyimpannya di peti sejuk dan memanaskannya setiap kali hendak makan. Ia boleh berlanjutan sehingga lebih dari sebulan lamanya.
  4. Bertemu dan berinteraksi sesama manusia adalah salah satu faktor penting dalam Tarbiyah dan juga Dakwah. Kalangan mahasiswa mudah bertemu di masjid dan di padang permainan, berbanding mahasiswi. Oleh itu faktor dan suasana rumah kediaman atau tempat tinggal adalah sangat penting bagi perkembangan prestasi Tarbiyah dan Dakwah  mereka. Untuk itu ketika dialam pengajian dahulu saya sering merancang agar isteri saya sering berada di rumah mahasiswi dan saya saya sendiri menjaga anak-anak supaya dia lebih fokus dalam bermuayashah (berinteraksi) sesama mereka.
  5. Sentiasa mengingati niat dan harapan kita sebelum mendirikan rumahtangga, iaitu  tidak lain selain untuk Agama yang tercinta dan untuk Dakwah yang kita  perjuangkan. Mengingatinya akan banyak membantu menyelamatkan kita dari tergelincir ke arah tarikan godaan dunia dan menguatkan jiwa untuk bekerja dengan lebih kuat untuk Allah swt.
  6. Sentiasa berjimat dalam berbelanja, walaupun anda dalam kemewahan atau mempunyai simpanan wang yang banyak. Banyak masalah rumahtangga di Malaysia berpunca dari masalah kelemahan pengurusan wang suami isteri.  Penyelesaiannya ialah belajar lebih awal cara berjimat dan mengurus wang ketika di alam pengajian.
  7. Pastikan rumah sentiasa kemas dan mudah menerima tetamu pada bila-bila masa. Kata-kata sebahagian orang kita “Rumahku Syurgaku”  sebagai tempat penenang hati dan merehatkan saraf boleh juga kita panggil “Rumahku Markazku” sebagai tempat bertandang para tetamu dikalangan teman-teman seperjuangan, para mad’u (orang-orang yang didakwahkan) maupun masyarakat umum.
  8. Menggalakkan berkahwin awal di luar negara agar membantu perdidikan diri pasangan berkenaan di satu aspek, dan membantu Dakwah diaspek yang lain.
Pergaulan dikalangan sesama Duat memberi kesan langsung dalam pembentukan peribadi mereka. Mereka yang telah berumahtangga mempunyai tanggungjawab yang berat dalam menunjukkan prestasi Dakwah yang lebih mantap kerana telah menyempurnakan sebahagian dari Agama mereka dan meluas kerana kini dakwahnya meliputi kedua-dua golongan lelaki dan wanita. Oleh kerana itu kita menggalakkan mereka berkahwin seawal boleh semasa di tahun-tahun awal menuntut di luar negara, tanpa berlengah lagi.
Harapan kita ialah Bait Muslim Qudwah semasa di alam pengajian akan terus bertambah bilangannya dan berterusan menjadi Bait-bait Muslim yang banyak bilangannya dan tersebar di seluruh tanahair lalu menjadi qudwah kepada segenap masyarakat dan rakyat jelata. Ini adalah faktor yang terkuat dalam membuat perubahan kepada Negara ke arah Islam hakiki lagi sejati yang kita impikan.

0 comments: