Friday, February 25, 2011

Jangan Takut Kahwin Awal.


Bagaimana  seorang pelajar tahun akhir universiti yang  hampir bunuh diri kerana  depresi (tekanan) setelah ditinggalkan kekasih mengubah  kehidupannya 180  darjah menjadikannya insan yang paling bahagia  di muka bumi ini dengan perkahwinan  di usia awal. Berikut adalah coretan terus dari  hati dan mata pena beliau.

*****

Saya  berusia 21 tahun, dan sudah berkahwin. Masih muda bukan? Suami  saya  berusia 23 tahun. Juga masih muda. Kami berdua masih belajar. Jadi, mengapa berkahwin? Kalau ikut kata mak ayah, "Nak bagi bini makan apa?   Pasir?"

Perjalanan cinta saya tidak mudah. Sebelum berkahwin, saya  pernah  teruk dikecewakan bekas kekasih. Dia minta masa 3 tahun dari  tarikh kami 'declare', untuk bersedia untuk berkahwin. Hampir 3 tahun,  saya  ditinggalkan untuk perempuan lain. Kecewa? Sudah tentu. Jujur,  saya  hampir bunuh diri. Saya mengalami tekanan hidup sehingga tidak berhubung dengan dunia luar.

Tapi selepas itu baru saya sedar  kehadiran suami saya yang sudah 4  tahun menunggu peluang. Pada mulanya,  saya ingat sekadar 'cinta  rebound', tetapi selepas 2 bulan berkenalan  dan bercintan, suami saya  melamar untuk berkahwin. Pada mulanya, saya  ingat satu gurauan. Akhirnya  si dia berani hubungi ayah saya dan minta  izin untuk berkahwin kerana  takut kehilangan saya lagi.

Ayah  saya pun dahulu berkahwin ketika belajar; ketika beliau tahun 1 peringkat  ijazah.

Suami saya pelajar perubatan tahun 3, dan saya cuma tinggal 2  bulan  untuk mengakhiri pengajian. Ayah saya bersetuju memandangkan  saya  sudah kecewa, takut juga pisang berbuah dua kali. Akhirnya, kami   berkahwin. Dengan mahar RM 200, sebentuk cincin emas, tiada hantaran,   tiada majlis, kami bernikah.

Simple bukan? Kenapa perlu pening?

Kalau anda lelaki, anda mesti  ingin berikan segala yang terbaik untuk  bakal isteri anda.

Dan, kalau  anda perempuan seperti saya, semestinya  inginkan hantaran yang tinggi  (lulusan ijazah sekarang, hantaran  RM10K ke atas). Perlu tidak?

Maaf perempuan, kalau terasa. Saya  bukan jual diri, saya tidak  perlukan hantaran RM10-20K. Saya tidak letak harga untuk nilai diri  sendiri dan harga cinta saya. Ini masalah  kalau kita kahwin cara Melayu; bukan cara Islam.

Saya perempuan  lulusan ijazah, saya ada tulang 4  kerat, dan saya boleh berusaha,  kenapa perlu mengharap dengan lelaki?  Suami bukan untuk dibebani, tapi  untuk disenangi. Isteri bukan untuk  dibeli, tapi untuk dikasihi.

Kos  kahwin sekarang paling rendah pun RM20K serba serbi. Hantaran,  majlis,  belum baju, pelamin. Tapi cuba fikir, perlu tidak? Baju raya kan  masih  ada, cantik lagi. Kasut raya pun masih baru.

Kenapa perlu buat  majlis  di hotel, dewan orang ramai kan ada? Kalau rasa sangat mahal  untuk  katering, boleh upah orang masak, tinggal sediakan bahan dan  peralatan.  Bersanding tak perlu, buat penat badan duduk macam tunggul  depan  orang.

"Seganlah. Nanti orang kata apa."

"Isk, buat malu  belajar  tinggi-tinggi, tak dapat hantaran." 

Hai, ni mentaliti Barat.  Bagi yang  beragama Islam, ingat rukun nikah.

Tanggungjawab selepas  kahwin yang  penting. Lebih baik duit sewa pelamin jadi duit persiapan  untuk anak  pertama. Prioritikan penggunaan duit anda. Kos bersalin  bukan murah.  Kalau di hospital kerajaan, paling kurang perlu ada  RM400-500. Tapi di  hospital swasta, minimum RM2000. Kos ada anak sangat  tinggi sekarang.

Pernah cuba lihat harga setin susu bayi di  pasar? Harga lampin pakai  buang? Dan sekarang, anda masih terfikir  pelamin itu penting? Ini tak  kira duit nak beli kenderaan, beli rumah.  Pening!!

Jadi jangan bebankan  diri anda dengan majlis perkahwinan yang  membazir dan tidak perlu.

Saya bahagia sekarang. Boleh keluar  dengan suami tanpa rasa takut dan  malu, disentuh lelaki bukan mahram.  Dan suami saya tidak perlu takut  saya diambil lelaki lain seperti dahulu.  Apa semua yang pasangan bercinta  lakukan, kini kami lakukan dengan  halal. Dan kami boleh lakukan lebih  dari itu, dengan halal. Tidak perlu  risau. Kami aman dan bahagia. Saya  dan suami masih bercinta. Masih  belajar mengenal sesama sendiri. Dan  percayalah, tak guna bercinta  lama-lama. 

Seganlah keluar dengan pasangan yang tidak halal untuk  anda. Saya dan  suami, masih seperti pasangan yang baru bercinta. Saya  mampu tanggung  hidup sendiri, kerja dan cari duit sendiri. Buat apa  menyusahkan suami?  Dan suami berusaha belajar bersungguh-sungguh (bagi  pelajar perubatan,  anda faham maksud saya), untuk mendapat keputusan  yang cemerlang. Saya  tahu ego lelaki tercabar, tetapi saya jujur  cintakan suami saya. Saya  tak ingin jadi beban, cukup asal dia berasa  senang dengan saya. 

Tidak perlu nafkah yang besar, semampu yang  ada saya terima.

Bakal-bakal isteri sekalian, bersyukurlah dengan suami  anda. Dan  bakal-bakal suami sekalian, hargai isteri kamu. Terima  kekurangan dan  kelemahan pasangan anda. Persamaan membina keserasian,  perbezaan itu  melengkapkan.

Rezeki Tuhan ada di mana-mana. Jangan putus asa. Berkahwinlah! Semoga  anda semua merasa tenang dan bahagia. 

- Artikel iluvislam.com 

Nota : Perkongsian di atas merupakan satu contoh bahawa perkahwinan di usia muda merupakan satu pilihan atau [I]option[/I] yang ada bagi masyarakat kita. Walaubagaimanapun, keputusan mendirikan rumah tangga perlu dibuat dengan hikmah bergantung kepada keadaan pasangan masing-masing kerana kehidupan selepas bernikah adalah cabaran sebenar dan pastinya kita inginkan rumah tangga yang berkekalan sehingga akhir hayat.

"Dan  antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa  Dia menciptkan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada  jenis kamu sendiri, supaya kamu BERSENANG HATI dan hidup MESRA  dengannya, dan dijadikan di antara kamu (suami isteri) perasaan KASIH  SAYANG dan BELAS KASIHAN." ([B]Surah Ar-Rum, 21[/B])



0 comments: