Wednesday, March 9, 2011

Isteri Boleh Maaf Tapi Tak Boleh Lupa. Suami Boleh Lupa Tapi Tak Boleh Sebut Maaf.

Kpd yg sudah nikah, jom usaha! untuk lebih keharmonian.
Kpd yg belum nikah, jom usaha! untuk lebih persediaan.


Isteri Boleh Maaf Tapi Tak Boleh Lupa

Suami Boleh Lupa Tapi Tak Boleh Sebut Maaf

Ramai dikalangan isteri merungut akan sikap suami mereka yang susah untuk menyatakan atau mengungkapkan perkataan “maaf” walaupun dengan jelas kesalahan dan kesilapan berpunca daripada suami. Akhirnya ramai dikalangan wanita melebelkan orang lelaki ini sebagai EGO.

Untuk memahami sikap lelaki begini, mari kita imbas kembali peranan lelaki zaman dahulu. Lelaki adalah penjaga keluarganya daripada serangan binatang buas, musuh dan menangkap binatang buruan untuk makanan keluarganya. Dia keluar meninggalkan keluarga untuk ke hutan menangkap binatang. Dia berfikir sendirian. Dia keluar dengan penuh yakin untuk kembali membawa binatang buruan. Dia tidak akan menunjukkan muka yang takut atau lemah agar isteri dan keluarganya tidak risau akan pemergiannya. Malah dia ingin dirasai diperlukan oleh keluarganya untuk mendapatkan makanan.

Sikap “rasa-tidak-dilihat-sebagai-GAGAL” telah menebal di kepala orang lelaki. Sememang inilah binaan sel-sel rangkaian otak orang lelaki yang suka kompetitif, kuasa dan agresif. Tidak boleh menerima kegagalan.

Kalau lelaki ini bersendiran memandu kereta dan dia sesat jalan, dia akan turun bertanya pada orang untuk mendapatkan panduan. Tetapi kalau isteri atau ada orang lain yang bersamanya ketika itu, dia tidak akan turun bertanya pada orang lain. Kerana perbuatan ini menyebabkan dirinya dipandang sebagai GAGAL. Kalau isterinya bersuara menyuruh dia minta pertolongan orang lain, ini menyebabkan dirinya rasa GAGAL. Pantang dirinya menerima keadaan begini. Seolah-olah dia “tidak berguna”. Kalau dia sedang membaiki paip yang bocor, isterinya suruh dia panggil saja tukang paip, tindakan isterinya ini merendahkan martabatnya sebagai dia GAGAL. Pantang dirinya menerima keadaan begini.

Penyebab lain yang menyukarkan suami menyebut “saya minta maaf” ialah binaan otak “monotrek”nya ini iaitu:

1.  Kurang perhubungan diantara sel emosinya di sebelah otak kanan dengan sel lisan di sebelah otak kirinya. Oleh itu amat sukar untuk dia menyuarakan kesilapannya.

2. Minda lelaki sepeti di dalam kotak-kotak. Semua kesilapan diri sendiri disimpan di dalam kotak-kotaknya itu dan disimpan hingga dia sendiri lupa di mana dia letak kotak-kotak itu. Dia hanya ingat akan kotak-kotak yang berisi kejayaan dan kemenangannya sahaja. Itu sebabnya orang lelaki lebih mudah menceritakan kejayaannya daripada kegagalannya kepada orang lain.

Sebaliknya isteri amat mudah menyuarakan semua perasaan, emosi, pandangan, kemaafan dan nasihat kerana binaan sel otak mereka yang “multitasking” ini mampu melakukan pelbagai perkara serentak. Disebabkan hubungan jaringan sel sebeginilah, maka amat mudah bagi seorang isteri mengingat semua peristewa dan dengan cekap pula mengaitkan peristewa itu dengan isu dan emosinya. 

Itu sebabnya seorang isteri sangat memerlukan unggapan “Abang minta maaf” daripada suaminya kerana dengan pernyataan ini menyebabkan dirinya dihormati dan terhubung jiwa dan raganya dengan suami itu.  

Dua orang lelaki peninju kelihatan berpelukan di akhir pertandingan. Tanggapan orang perempuan ialah mereka sedang bermaaf-maafan. Hakikat sebenar ialah pemenang berkata, “Aku menang” dan disambut oleh yang kalah, “Ok, aku tunggu kamu tahun depan pulak.”

Oleh itu, bagi isteri, cukuplah dengan perbuatan suami seperti membasuh keretanya atau mengambil kain di penyidai sebagai ungkapan yang dia sedang meminta maaf kepada anda.

Bagi suami pula, belajarlah menyebut, “Abang minta maaf” setiap kali isteri berkata, “Abang yang silap” kerana dengan ucapan azimat ini akan bertambah sayang dia kepada anda, walaupun anda tidak tahu apa kesalahan anda.

Selamat mencuba

Pak Utih



Ahmad Shafiai Uda Jaafar
pakutih@ymail.com
Mobile: 017 7272 307
Suami Memimpin Isteri Mengurus


Friday, February 25, 2011

Jangan Takut Kahwin Awal.


Bagaimana  seorang pelajar tahun akhir universiti yang  hampir bunuh diri kerana  depresi (tekanan) setelah ditinggalkan kekasih mengubah  kehidupannya 180  darjah menjadikannya insan yang paling bahagia  di muka bumi ini dengan perkahwinan  di usia awal. Berikut adalah coretan terus dari  hati dan mata pena beliau.

*****

Saya  berusia 21 tahun, dan sudah berkahwin. Masih muda bukan? Suami  saya  berusia 23 tahun. Juga masih muda. Kami berdua masih belajar. Jadi, mengapa berkahwin? Kalau ikut kata mak ayah, "Nak bagi bini makan apa?   Pasir?"

Perjalanan cinta saya tidak mudah. Sebelum berkahwin, saya  pernah  teruk dikecewakan bekas kekasih. Dia minta masa 3 tahun dari  tarikh kami 'declare', untuk bersedia untuk berkahwin. Hampir 3 tahun,  saya  ditinggalkan untuk perempuan lain. Kecewa? Sudah tentu. Jujur,  saya  hampir bunuh diri. Saya mengalami tekanan hidup sehingga tidak berhubung dengan dunia luar.

Tapi selepas itu baru saya sedar  kehadiran suami saya yang sudah 4  tahun menunggu peluang. Pada mulanya,  saya ingat sekadar 'cinta  rebound', tetapi selepas 2 bulan berkenalan  dan bercintan, suami saya  melamar untuk berkahwin. Pada mulanya, saya  ingat satu gurauan. Akhirnya  si dia berani hubungi ayah saya dan minta  izin untuk berkahwin kerana  takut kehilangan saya lagi.

Ayah  saya pun dahulu berkahwin ketika belajar; ketika beliau tahun 1 peringkat  ijazah.

Suami saya pelajar perubatan tahun 3, dan saya cuma tinggal 2  bulan  untuk mengakhiri pengajian. Ayah saya bersetuju memandangkan  saya  sudah kecewa, takut juga pisang berbuah dua kali. Akhirnya, kami   berkahwin. Dengan mahar RM 200, sebentuk cincin emas, tiada hantaran,   tiada majlis, kami bernikah.

Simple bukan? Kenapa perlu pening?

Kalau anda lelaki, anda mesti  ingin berikan segala yang terbaik untuk  bakal isteri anda.

Dan, kalau  anda perempuan seperti saya, semestinya  inginkan hantaran yang tinggi  (lulusan ijazah sekarang, hantaran  RM10K ke atas). Perlu tidak?

Maaf perempuan, kalau terasa. Saya  bukan jual diri, saya tidak  perlukan hantaran RM10-20K. Saya tidak letak harga untuk nilai diri  sendiri dan harga cinta saya. Ini masalah  kalau kita kahwin cara Melayu; bukan cara Islam.

Saya perempuan  lulusan ijazah, saya ada tulang 4  kerat, dan saya boleh berusaha,  kenapa perlu mengharap dengan lelaki?  Suami bukan untuk dibebani, tapi  untuk disenangi. Isteri bukan untuk  dibeli, tapi untuk dikasihi.

Kos  kahwin sekarang paling rendah pun RM20K serba serbi. Hantaran,  majlis,  belum baju, pelamin. Tapi cuba fikir, perlu tidak? Baju raya kan  masih  ada, cantik lagi. Kasut raya pun masih baru.

Kenapa perlu buat  majlis  di hotel, dewan orang ramai kan ada? Kalau rasa sangat mahal  untuk  katering, boleh upah orang masak, tinggal sediakan bahan dan  peralatan.  Bersanding tak perlu, buat penat badan duduk macam tunggul  depan  orang.

"Seganlah. Nanti orang kata apa."

"Isk, buat malu  belajar  tinggi-tinggi, tak dapat hantaran." 

Hai, ni mentaliti Barat.  Bagi yang  beragama Islam, ingat rukun nikah.

Tanggungjawab selepas  kahwin yang  penting. Lebih baik duit sewa pelamin jadi duit persiapan  untuk anak  pertama. Prioritikan penggunaan duit anda. Kos bersalin  bukan murah.  Kalau di hospital kerajaan, paling kurang perlu ada  RM400-500. Tapi di  hospital swasta, minimum RM2000. Kos ada anak sangat  tinggi sekarang.

Pernah cuba lihat harga setin susu bayi di  pasar? Harga lampin pakai  buang? Dan sekarang, anda masih terfikir  pelamin itu penting? Ini tak  kira duit nak beli kenderaan, beli rumah.  Pening!!

Jadi jangan bebankan  diri anda dengan majlis perkahwinan yang  membazir dan tidak perlu.

Saya bahagia sekarang. Boleh keluar  dengan suami tanpa rasa takut dan  malu, disentuh lelaki bukan mahram.  Dan suami saya tidak perlu takut  saya diambil lelaki lain seperti dahulu.  Apa semua yang pasangan bercinta  lakukan, kini kami lakukan dengan  halal. Dan kami boleh lakukan lebih  dari itu, dengan halal. Tidak perlu  risau. Kami aman dan bahagia. Saya  dan suami masih bercinta. Masih  belajar mengenal sesama sendiri. Dan  percayalah, tak guna bercinta  lama-lama. 

Seganlah keluar dengan pasangan yang tidak halal untuk  anda. Saya dan  suami, masih seperti pasangan yang baru bercinta. Saya  mampu tanggung  hidup sendiri, kerja dan cari duit sendiri. Buat apa  menyusahkan suami?  Dan suami berusaha belajar bersungguh-sungguh (bagi  pelajar perubatan,  anda faham maksud saya), untuk mendapat keputusan  yang cemerlang. Saya  tahu ego lelaki tercabar, tetapi saya jujur  cintakan suami saya. Saya  tak ingin jadi beban, cukup asal dia berasa  senang dengan saya. 

Tidak perlu nafkah yang besar, semampu yang  ada saya terima.

Bakal-bakal isteri sekalian, bersyukurlah dengan suami  anda. Dan  bakal-bakal suami sekalian, hargai isteri kamu. Terima  kekurangan dan  kelemahan pasangan anda. Persamaan membina keserasian,  perbezaan itu  melengkapkan.

Rezeki Tuhan ada di mana-mana. Jangan putus asa. Berkahwinlah! Semoga  anda semua merasa tenang dan bahagia. 

- Artikel iluvislam.com 

Nota : Perkongsian di atas merupakan satu contoh bahawa perkahwinan di usia muda merupakan satu pilihan atau [I]option[/I] yang ada bagi masyarakat kita. Walaubagaimanapun, keputusan mendirikan rumah tangga perlu dibuat dengan hikmah bergantung kepada keadaan pasangan masing-masing kerana kehidupan selepas bernikah adalah cabaran sebenar dan pastinya kita inginkan rumah tangga yang berkekalan sehingga akhir hayat.

"Dan  antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa  Dia menciptkan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada  jenis kamu sendiri, supaya kamu BERSENANG HATI dan hidup MESRA  dengannya, dan dijadikan di antara kamu (suami isteri) perasaan KASIH  SAYANG dan BELAS KASIHAN." ([B]Surah Ar-Rum, 21[/B])



Tuesday, December 14, 2010

Bait Muslim Qudwah.


Di University of Melbourne, Australia 2008. 
Mahasiswa dan mahasiswi Malaysia yang berumahtangga di Negara-negara Barat atau di mana-mana luar negara sering dijadikan qudwah (contoh tauladan) atau sekurang-kurangnya penaung oleh pelajar-pelajar yang belum berkahwin di sana, khususnya pelajar-pelajar “undergraduate” (pra-siswazah). Ini yang pernah saya rasakan ketika menuntut di Australia sekitar tahun-tahun 1980an dahulu. Bahkan kekadang mereka dirasakan seperti “abah dan emak” atau “Along dan Kak Long” tempat mengadu, salah satu sumber kekuatan untuk menjaga iman ketika hidup di tengah-tengah masyarakat Barat yang penuh dengan pancaroba. Saya masih ingat, semasa di tahun pertama di Australia tahun 1983, di waktu-waktu biasa atau ketika gundah gelana, saya akan pergi menziarahi pasangan suami isteri dikalangan para Duat yang tinggal berdekatan semata-mata untuk mendapat kekuatan dari hidup berjemaah di rantau orang. Walaupun jarak usia antara kami hanya beberapa tahun tetapi keadaan mereka berpasangan seperti itu cukup menjadikan mereka seperti ayah dan ibu saudara saya sendiri. Walaupun yang dihidangkannya hanya secawan teh, cekodok atau spaghetti (mee) goreng tetapi suasana seperti itu saya rasakan seperti masakan emak saya sendiri. Ia adalah kenangan ukhuwwah yang boleh menitiskan air mata walaupun telah berlalu lebih 25 tahun yang lalu.
Oleh kerana di dalam Jalan Dakwah, “qudwah” (teladan) merupakan salah satu faktor utama kejayaan Tarbiyah kepada para Pendakwah, pasangan-pasangan yang berumahtangga mesti menyedari hakikat  ini dan harus memastikan perkara-perkara berikut :
  1. Amal Dakwah tidak berkurangan selepas mereka berumahtangga berbanding dengan semasa mereka belum berkahwin. Kekadang terdengar rungutan mengatakan ada mahasiswi yang menjadi kurang aktif selepas berkahwin berbanding sebelumnya. Kita berharap rungutan itu tidak berlaku atau jika benar ia berlaku, ia segera dibaiki.
  2. Suami tidak “mengurung” isterinya di rumah menjadikaan Dakwah kehilangan seorang lagi pendakwah wanita yang berkaliber, dengan hujjah tugas seorang isteri hanyalah semata-mata  di rumah, dan semata-mata untuk suaminya. Kepada beliau kita bertanya, tidakkah ramai para Duat memperoleh isteri mereka yang solehah hasil dari didikan Dakwah ini, bahkan sesetengahnya melalui Dakwah ini ?
  3. Jika bebanan pelajaran sangat besar, mahasiswa/i yang berkahwin mestilah merancang masa mereka dengan baik agar tidak banyak terbuang. Dalam suasana tertentu seperti musim peperiksaan, pernah saya dan isteri memasak kari ayam untuk 3 hari, menyimpannya di peti sejuk dan memanaskannya setiap kali hendak makan. Ia boleh berlanjutan sehingga lebih dari sebulan lamanya.
  4. Bertemu dan berinteraksi sesama manusia adalah salah satu faktor penting dalam Tarbiyah dan juga Dakwah. Kalangan mahasiswa mudah bertemu di masjid dan di padang permainan, berbanding mahasiswi. Oleh itu faktor dan suasana rumah kediaman atau tempat tinggal adalah sangat penting bagi perkembangan prestasi Tarbiyah dan Dakwah  mereka. Untuk itu ketika dialam pengajian dahulu saya sering merancang agar isteri saya sering berada di rumah mahasiswi dan saya saya sendiri menjaga anak-anak supaya dia lebih fokus dalam bermuayashah (berinteraksi) sesama mereka.
  5. Sentiasa mengingati niat dan harapan kita sebelum mendirikan rumahtangga, iaitu  tidak lain selain untuk Agama yang tercinta dan untuk Dakwah yang kita  perjuangkan. Mengingatinya akan banyak membantu menyelamatkan kita dari tergelincir ke arah tarikan godaan dunia dan menguatkan jiwa untuk bekerja dengan lebih kuat untuk Allah swt.
  6. Sentiasa berjimat dalam berbelanja, walaupun anda dalam kemewahan atau mempunyai simpanan wang yang banyak. Banyak masalah rumahtangga di Malaysia berpunca dari masalah kelemahan pengurusan wang suami isteri.  Penyelesaiannya ialah belajar lebih awal cara berjimat dan mengurus wang ketika di alam pengajian.
  7. Pastikan rumah sentiasa kemas dan mudah menerima tetamu pada bila-bila masa. Kata-kata sebahagian orang kita “Rumahku Syurgaku”  sebagai tempat penenang hati dan merehatkan saraf boleh juga kita panggil “Rumahku Markazku” sebagai tempat bertandang para tetamu dikalangan teman-teman seperjuangan, para mad’u (orang-orang yang didakwahkan) maupun masyarakat umum.
  8. Menggalakkan berkahwin awal di luar negara agar membantu perdidikan diri pasangan berkenaan di satu aspek, dan membantu Dakwah diaspek yang lain.
Pergaulan dikalangan sesama Duat memberi kesan langsung dalam pembentukan peribadi mereka. Mereka yang telah berumahtangga mempunyai tanggungjawab yang berat dalam menunjukkan prestasi Dakwah yang lebih mantap kerana telah menyempurnakan sebahagian dari Agama mereka dan meluas kerana kini dakwahnya meliputi kedua-dua golongan lelaki dan wanita. Oleh kerana itu kita menggalakkan mereka berkahwin seawal boleh semasa di tahun-tahun awal menuntut di luar negara, tanpa berlengah lagi.
Harapan kita ialah Bait Muslim Qudwah semasa di alam pengajian akan terus bertambah bilangannya dan berterusan menjadi Bait-bait Muslim yang banyak bilangannya dan tersebar di seluruh tanahair lalu menjadi qudwah kepada segenap masyarakat dan rakyat jelata. Ini adalah faktor yang terkuat dalam membuat perubahan kepada Negara ke arah Islam hakiki lagi sejati yang kita impikan.

PadaMu tempat ku meminta.

Saban hari aku makin mengerti betapa hari-hari yang aku lalui menuntut aku untuk menambahkan kesyukuran semuanya kerana Allah swt yang tidak pernah lekang daripada memberikan yang terbaik dalam hidup aku ini.

Alhamdulillah Allah telah memudahkan banyak urusan.

... Jika tahun lepas, graduate sebagai graduan Bachelor of Science (Biotechnology), tahun ini telah pun graduate sebagai graduan Bachelor of Health Science (Honours) ....

Sujud syukur atas kasih sayang Allah.

... Jika tahun sebelumnya dianugerahkan 'anak-anak' yang mantap, tahun ini tidak kurang hebatnya dengan kelibat cinta yang lebih gemerlap. Ada yang baru, yang lama bertambah kukuh, yang berada pada jagaan sahabat-sahabat pun akrab ...

Air mata keinsafan atas kasih sayang Allah.

... Jika tahun-tahun lepas, hidup sendiri-sendiri, tahun ini ada janji cinta yang Allah sedang kotakan. Asy-Syura (42): 49 ...

Ada kisah gembira pada jernih titisan berkaca pada pipi.

"Dan bersabarlah engkau (wahai Muhammad) dengan orang yang menyeru Tuhannya pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran." Al-Kahfi (18): 28 ....

Moga thabat dan syadid, insyaAllah. 

Jzkk kepada semua yang mendoakan. 

Baju Melayu Vs Baju Kurung


Kalau perempuan tidak boleh memasak, dikutuk dan disuruh belajar. Kalau lelaki tak boleh jadi imam kita kata okay saja.
Jangan diperbesarkan nanti mereka terasa hati.

"Apalah perempuan, tak pandai masak siapa nak kahwin dengan awak!" Begitulah kata rakan sejawat lelaki pada seorang anak dara, juga rakan sejawat kami.

Maka jawaplah si gadis ayu itu yang dia tidak sempat belajar memasak sebab dari kecil tidak digalakkan keluarga sebaliknya di suruh menumpukan perhatian pada pelajaran saja.

Setelah tinggal di asrama, peluang pulang ke rumah terhad dan tidak sempat turun ke dapur membantu ibunya.
''Habis sekarang kenapa tidak belajar?" Tanya sang lelaki lagi dengan penuh semangat.

''Sedang belajarlah ni tetapi selain sibuk dengan kerjaya saya juga sibuk belajar agama, jadi belajar memasak tetap tidak diutamakan!" Begitu jawab si gadis yang membuatkan lelaki tadi menggeleng-geleng kepala.

Baginya tidak sempurna seorang wanita jika tidak tahu memasak. Wanita sepatutnya buat begitu juga.
Syarat utama menjadi suami mesti boleh menjadi imam.

Walau ada yang kata, jika itu syaratnya bermakna makin ramai wanita yang hidup bujang seumur hidup.

Lelaki meletakkan kebolehan wanita di dapur sebagai perkara utama dan ungkapan hendak memikat suami, perlu pikat seleranya sering diguna pakai.

Tidak kiralah jika wanita itu berpelajaran atau berjawatan tinggi dan penyumbang utama kewangan dalam rumahtangganya.
Sekarang bukan asing lagi gaji isteri lebih tinggi daripada suami.

Namun kedudukan suami sebagai raja tidak pernah dilupa walau dia tidak mengambil inisiatif mempelajari ilmu menjadi imam.

Ilmu bermain video game di komputer mereka rasa lebih perlu.

Kalau tidak tahu memasak disuruh belajar dan sesudah belajar perlu handal.

Jika handal bukan setakat masak untuk keluarga sendiri, kalau boleh perlu boleh memasak untuk tiga pasukan bola. Begitulah standard yang telah ditetapkan.

Bolehkah kita meletakkan undang-undang itu kepada lelaki juga? Kalau tidak pandai jadi imam, belajarlah.

Mula-mula jadi imam kepada keluarga sendiri, sudah terror boleh mengimam satu taman perumahan juga.

"Sibuk suruh kita handal memasak, mereka tu bolehkah jadi imam?" Dengus teman wanita yang lain.

Betul juga ya? Berapa kerat lelaki yang menjadikan sembahyang jemaah di rumah bersama anak isteri sebagai agenda utama, selain keperluan memenuhi pelbagai seleranya?

Maka bertanyalah wanita kini kepada beberapa lelaki tentang kebolehan yang satu ini.

Ternyata ramai yang menjawab tidak confident menjadi imam sebab takut bacaan al-Fatihah tidak sempurna, salah tajwid atau pun dia merasakan isterinya lebih handal.

Ada yang kata lebih elok dia dan isteri sembahyang sendiri-sendiri.

Ada juga menjawab, rasa kelakar pula apabila dirinya yang rugged menjadi imam.

Isu ini sepatutnya kita beratkan sepertimana masyarakat memberatkan wanita perlu pandai memasak jika mahu bersuami.

Lelaki juga harus boleh menjadi imam supaya kewibawaan mereka sebagai ketua keluarga tidak goyah atau menjadi mangsa 'queen control'.

Kalau tidak pandai, belajarlah sekarang. Jika wanita disuruh belajar, apa salahnya lelaki!

Wednesday, June 23, 2010

Ziwaj Da’awi…. tanda wafa’ seorang rijal

http://muntalaq.wordpress.com/2010/06/21/ziwaj-daawi-tanda-wafa-seorang-rijal/

Ketika anda ketemu seorang lelaki yang begitu bersemangat, anda mungkin menganggapnya mantap dalam fikrah, cekal dalam azam dan akan mengorbankan segala-galanya untuk dakwah yang diyakininya.
Tapi bila berdepan dengan masa menentukan pilihan zaujah, anda tiba-tiba kecewa dengannya. Bukan kerana masalah atau paksaan keluarga, bukan kerana tekanan janji lama atau lain-lain uzur yang mungkin boleh diterima, tetapi ia kalah kerana sebab yang anda ragui kesanggupan pengorbanannya untuk dakwah.
Dia mungkin bersungguh-sungguh mencari seorang mad’u dan menDF, tapi dengan mudah ia membiarkan seorang ukhti yang telah lama berkorban dan bersedia untuk berkorban lagi, tetapi terpaksa terkorban kerana menjadi ahli baitul muslim yang tak ketentuan masa depannya.
Apakah hanya kerana umur yang hanya lebih banyak beberapa hari (ya… beberapa tahun lebih tua juga adalah beberapa hari), maka ia sanggup membiarkan seorang ukhti dilarikan arus keperluan kehidupan biasa dan kembali menjadi manusia biasa kategori MB atau MC?? Adakah hanya kerana wajah yang tidak secantik artis hiasan media massa maka ia sanggup korbankan manusia yang telah ditarbiyyah begitu lama oleh sang murabbiyah? Adakah kerana hanya untuk mengikuti kehendak mata dan ‘kononnya melaksanakan hadis dinikahi wanita kerana kecantikannya…..’ maka ia sanggup hanya melihat seorang ukhti dibawa kembali secara paksa atas kuasa seorang suami ke cara ‘hidup selesa’ dan ‘harmoni’?
Tidak…
tidak mungkin seorang rijal yang wafa’ (setia) dengan dakwahnya untuk membiarkan dirinya hanya melihat dakwah surut kerana kehilangan tenaga-tenaga yang telah di asuh dan di bina dengan susah payah tangan murabbiyah. Tidak mungkin juga seorang rijal sanggup gembira dengan rumahtangga barunya dari zaujah yang entah dari mana dan dia hidup heppi sedangkan akhawat di sana-sini menangis di heret ke alam hidup lama mereka kembali, bukan kerana kerelaan hati mereka.
Sampai bila kita hanya akan menjadi orang yang hanya berkorban harta dan tenaga tetapi tidak sanggup untuk mengorbankan keinginan mendirikan rumah tangga dengan pilihan ala ‘artis’nya.
Sungguh terharu mendengar ungkapan seorang sahabat:
“…. jika tidak kerana halangan keluarga, tidak kerana memelihara imej dakwah dan tidak kerana kekangan tohmahan masyarakat, nescaya ku lengkapkan bilangan 4 mengikut sunnah para sahabat demi menyelamatkan dakwah kita…. tetapi………………………….”

Sunday, March 21, 2010

Setia seorang isteri - Wildan

Wednesday, February 3, 2010

Jangan sekadar syurga dunia.

saifulislam

“Saya perlu bernikah, ustaz. Sangat perlu” ujar seorang anak muda.
“Mungkin tidak patut ustaz menyoal, tetapi KENAPA?” soalan saya ajukan kepadanya.
Bukan kenapa nikah, tetapi mengapa begitu terdesak.
“Tidak tenteram. Ada gelodak jiwa” katanya.
“Justeru selepas nikah nanti, kalau sudah tenteram dan jiwa kembali tenang, apa seterusnya?” saya menyambung pertanyaan.
“Tenteram itu bukankah sentiasa perlu? Jadi perlukah ada ’seterusnya’, ustaz? Saya keliru,” katanya jujur.

“Izinkan ustaz berterus terang. Jika tenang dan tenteram yang anta maksudkan itu adalah pada nikmat beristeri dan menikmati isteri, hati-hati dengan tabiat nikmat dunia,” saya tidak mahu berbunga kata.
“Tabiat yang bagaimana?” beliau agak kabur dengan perbualan kami.
“Kalau ustaz pakar sambal sotong, ustaz hidangkan kepada anta buat kali pertama, Alhamdulillah. Tengah hari nanti sambal sotong juga, Alhamdulillah. Makan malam nanti sambal sotong lagi, Alhamdulillah. Bagaimana jika sarapan pagi esoknya juga sambal sotong dan tengah hari itu juga berlaukkan sambal sotong. Kamu mampu menjamahnya lagi?” saya beranalogi.
“Aduh, boleh muntah dibuatnya. Jangan, ustaz!” katanya sambil ketawa.
“Benar. Segala nikmat di dunia, biar sesedap mana pun ia, sedapnya semasa lapar, semasa bujang, semasa belum merasa. Tetapi kalau sudah dirasa, diulang rasa, berterusan merasa, bisa sahaja yang sedap menjadi hambar” saya menyambung kalam.
“Jadi, apa yang cuba ustaz beritahu saya?” soal beliau.
Pernikahan, jangan sekadar satu penyelesaian. Ia harus lebih besar dari itu” saya memberikan kesimpulan.
NIKAH UNTUK SELESAI
Tidak salah untuk percaya bahawa pernikahan boleh menyelesaikan banyak masalah. Itulah hikmahnya pada Sunnah bernikah.
Tetapi kekhuatiran yang timbul, ialah apabila sebuah ikatan perkahwinan mahu dilangsungkan hanya untuk menyelesaikan masalah tertentu, dan selepas masalah itu selesai, perkahwinan itu hilang tujuan! Menjadikan perkahwinan sebagai penyelesaian, hanyalah sebuah hasrat berupa perancangan jangka pendek. Sedangkan untuk sebuah rumahtangga terus membuka laluan sampai ke Syurga, ia perlu kepada perancangan jangka panjang.
Sepanjang kehidupan.
Kebelakangan ini saya dihimpit rasa bimbang.
Tatkala hari demi hari didatangi pasangan yang berkahwin muda mengadu masalah, saya memaksa diri untuk berfikir dan mencari sudut-sudut tersembunyi (blind spot) di dalam tasawwur seorang anak muda semasa mahu bernikah.
“Saya bosan tengok isteri saya ustaz. Salahkah saya berperasaan begitu?” tanya seorang anak muda.
Jantung saya berdebar.
Merenung matanya, saya dapat merasakan ada semacam satu kehampaan di dalam dirinya kerana terbeban oleh perasaan yang gagal disembunyikannya. Syukur, sekurang-kurangnya dia mahu bertanya. Di samping berusaha menemukan jawapan, saya juga dapat belajar sesuatu untuk diri dan dikongsi dengan yang lain.
Bagaimana boleh bosan?
Saya harus mencari jawapan pada titik mula dan titik tengah soalan itu.
Justeru untuk mencari penjelasan pada titik mula, saya persoalkan tujuan perkahwinannya semasa di tahun 2 pengajian lebih setahun yang lalu.
“Kami selalu berjumpa. Saya bimbang hati terus terfitnah memikirkan tentangnya. Alhamdulillah saya tidak bertepuk sebelah tangan. Biar pun ayah dan ibu kami agak berat untuk menyatakan persetujuan, tetapi syukur akhirnya mereka merestui,” cerita beliau.
“Alhamdulillah.Jadi, sekarang ini, adakah anta sudah mendapat apa yang dicari?” saya bertanya.
“Ya, cuma…” beliau teragak-agak menyebut.
“”Cumanya sekarang anta sedang dilanda jemu, kan?” saya sambungkan ayatnya yang tidak langsai itu.
Tatkala kita mengejar sebuah ikatan perkahwinan sebagai jalan keluar kepada apa-apa sahaja masalah yang sedang dihadapi, syukur jika masalah itu selesai, dan syukur juga jika masalah itu belum selesai. Sekurang-kurangnya dia masih punya sesuatu untuk diusahakan dalam sebuah perkahwinan. Namun bagi yang masalah sudah selesai di tahun satu pernikahannya, apa lagi cita-cita dan azam yang ada dalam visi dan misinya bagi melangsungkan usia perkahwinan?
Daripada gelisah menjadi tenang dengan nikah.
Timbul jemu, mahu mencari tenang dengan membatalkan nikah?
Naudhubillah
Tidak sedikit air mata sang isteri tumpah semasa suami mereka berterus terang berkata, “mengahwinimu adalah suatu kesilapan!”
Sepatutnya masalah seperti ini tidak timbul.
Tetapi realiti sering meninggalkan banyak ’sepatutnya’ terkontang-kanting menjauhi kesempurnaan.
Perkahwinan menyelesaikan.
Tetapi ia bukan sekadar sebuah penyelesaian.
Ia adalah sebuah gagasan.
Impian yang memerlukan pandanganmu jauh sampai ke usia tua, sampai cangkul dan tanah memisahkan jiwa, sampai ke kubur, sampai kamu ke Syurga.
Jadikanlah perkahwinan itu kenderaan yang membawa dirimu untuk ke Syurga Akhirat.
Jangan sekadar syurga dunia.
“Saling berpesan-pesanlah kamu tentang para isteri agar berlaku baik kepada mereka. Sesungguhnya kamu mengambil (menikahi) mereka dengan amanah daripada Allah dan dihalalkan untukmu kemaluan mereka adalah dengan Kalimah Allah” [Hadith riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
saifulislam 

Bulan madu.

Alhamdulillah. Genap 20 hari sejak hari di mana pertalian antara dua insan berbeza dihalalkan oleh suatu lafaz yang Allah berikan azimat ke dalamnya.

Moga hari ini lebih baik daripada semalam. InsyaAllah. Doakan kami.

Thursday, November 12, 2009

Walimatul Urus.

Assalamu'alaikum.


“Kahwinkanlah orang yang sendirian antara kamu. Sesungguhnya Allah akan memperbaiki akhlak mereka, meluaskan rezeki mereka dan menambahkan keluhuran mereka.”
(Maksud Hadith)


*****

Dengan segala hormat dipersilakan rakan taulan untuk sama-sama meraikan pernikahan:

Muhamad Syahrul Fitri Zawawi
dan
Rahimah Abdul Rahman


pada
15 Januari 2010
di Lot 1031, Kg. Buloh Poh, 16450 Ketereh, Kota Bharu, Kelantan.

di Lot 357, Kg. Semut Api, Jalan Perdana Resort, 15350 Kota Bharu, Kelantan.

 Diharapkan semoga dengan kehadiran semua akan memeriahkan dan menambah-berkatkan majlis kesyukuran ini, insyaAllah.

*****

“Bukan termasuk golonganku orang yang merasa khuatir akan terkongkong hidupnya kerana menikah, kemudian tidak menikah.”
(Riwayat At-Tabrani)



+ Syahr  musafir_msfz@yahoo.com
+ Emah mujahadah87@yahoo.com

Thursday, October 29, 2009

Walimah 1: 15 Januari 2010.

Assalamu'alaikum.
Dengan segala hormat dipersilakan rakan taulan untuk sama-sama memeriahkan majlis kesyukuran atas pernikahan kami di kediaman keluarga Puan Dawiyah untuk walimatul urus bagi pihak pengantin perempuan.



 

 


Untuk lanjutan, hubungi:
+ Syahr (0109113995)
+ Emah (+60136298081)

Peta lokasi walimah dari lapangan terbang:

View Larger Map

Wednesday, October 28, 2009

Walimah 2: 17 Januari 2010.

Assalamu'alaikum.
Dengan segala hormat dipersilakan rakan taulan untuk sama-sama memeriahkan majlis kesyukuran atas pernikahan kami di kediaman keluarga Haji Zawawi dan Puan Fatimah @ Salmah untuk majlis menyambut menantu.



 

 

Untuk lanjutan, hubungi:
+ Syahr (0109113995)
+ Emah (+60136298081)
+ Ayah Wi (+60129672582)
+ Ummi/Teh (+60139333551)

Peta lokasi walimah dari lapangan terbang:

View Larger Map

Tuesday, October 27, 2009

Harapan Bait Al-FitRah..


Nun menghijau daun berterbangan..
Langit membiru ,burung berkejaran..
angin bertiup ,halus kedengaran..
tenang di hati,indah di pandangan..
Itulah Dia ,Maha Kuasa Tuhan..
Segala dariNya mendatangkan ketenangan..

Sesungguhnya Dunia ini hanya pinjaman..
hanya pentas lakonan..
Sedarlah wahai insan..
Setiap apa yang berlaku di dunia ini hanya Dia yg tentukan..
Ajal,maut ,itu semua di tangan Tuhan..
Juga jodoh pertemuan..Dia yang tentukan..
kita hanya mampu membuat perancangan..

Berdoalah wahai Insan..
kerana Doa itu senjata orang beriman..
Kerana itu,kutetapkan pendirian..
Kuteruskan Doa,kuyakini keputusan..
Kerana kuyakin dan percaya di sana kankutemui kebahagiaan..
Agar mimipi syurgaku menjadi kenyataan..
bersama insan2 tersayang bersamaku, dan kupasti aku bukan keseorangan
Ya Allah,ya Rabbi permudahkanlah segala urusan..
agar bait Al-FitRah ini lahir dalam keberkatan..
Jua dalam keredhaan..mekar dalam perjuangan

Bait Al-FitRah..Satu harapan..
Istikhorahku memberikanku keyakinan..
Lahirnya keluarga FitRah..dalam fitrah semulajadi dua insan..
yang hanya mengharapkan keredhaan,keberkatanMu..Ya Tuhan..
Keluarga FitRah,bukan sekadar harapan..
Malah satu usaha dalam menyempurnakan IMAN..
Kerana itu,Jalan ini menjadi Pilihan..
Semoga Diperkenankan..AMIN..

Monday, October 26, 2009

Majlis Pertunangan.



- Telah diadakan pada 8 Februari 2008  bersamaan 1 Safar 1429H
- Dihadiri ahli keluarga kedua-dua belah pihak

Medan memberi dan menerima..

Salam..

Musim cuti sekolah bakal tiba tidak lama lagi.Seperti lazimnya,kad-kad kenduri perkahwinan banyak diterima,juga mesej-mesej daripada beberapa sahabat2ku yang bakal menikah.Tahniah buat mereka semua..Alhamdulillah,sememangnya jalan ini (perkahwinan)merupakan sunnah Rasulullah S.A.W.


Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Apabila seorang hamba telah berkahwin ia telah menyempurnakan setengah dari
agamanya maka hendaklah ia bertakwa untuk yang setengah lagi”

[HR Al-Baihaqi dalam Asy-Syu’ab, dinilai “Hasan” dalam Sahih Al-Jami’]

Tatkala mendengar perkataan "perkahwinan",majoriti dalam kalangan kita memikirkan yang indah2,semestinya kebahagian yang berkekalan yang diimpikan.Namun,sedarkah kita bahawa perkahwinan merupakan satu medan mujahadah.Mana mungkin dua insan yang berlainan jiwa,fizikal,mungkin prinsip juga emosi akan sentiasa hidup bahagia bersama melalui satu ikatan suci iaitu perkahwinan tanpa mujahadah.

Pemikiran waras kita pasti berfikir...berfikir tentang sunnah yang satu ini..Di sebalik perkahwinan itu,tersingkap seribu rahsia.. dan hanya yang sudah menikah sahaja yang dapat merasa..dan diantaranya,sifat mujahadah itu sangat diperlukan..
sangat2 diperlukan seiring dengan nilai toleransi yang tinggi,dan yang paling penting nilai agama..suburkankan bait Al-Muslim setiap antara kita dengan ilmu juga amal yang soleh..sememangnya perkahwinan juga membawa kita ke arah menyempurnakan IMAN..InsyaAllah..sesungguhnya diriku juga dalam usaha menyempurnakan iman kerana
medan memberi dan menerimaku sudah semakin hampir..

Dengan kalimah "Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang" bersama ini dengan segala hormatnya dijemput sahabat2,rakan taulanku semua bagi menghadiri majlis perkahwinanku,detailnya boleh rujuk pada entri tentang walimah..

Akhir kalam, kuselitkan 2 rangkap pantun di bawah, agar pembaca entri ini mampu bersedekah di hujung kalam..kenapa bersedekah??kerana senyuman itukan salah satu bentuk sedekah..~~

Dalam usaha menyempurnakan Iman
Lahirlah blog Keluarga FitRah
Jemputlah datang ke majlis perkahwinan
antara syahrul Fitri & juga Rahimah


keluarga FitRah satu harapan
lahir fitrah dari dua insan
Kunjungan sahabat2 amat dinanti2kan
Agar majlis bertambah keberkatan...AMIN

Sunday, October 25, 2009

Niat untuk suatu ikatan pernikahan.


Saya mendirikan rumahtangga pada 27.7.1985 semasa menuntut di Australia. Ketika itu umur belum mencecah 20 tahun (lahir 6.11.1965). Sebagai mahasiswa tahun ke 2 di Fakulti Kejuruteraan, University of Queensland, Brisbane, berkahwin ketika belajar dalam usia masih muda pula menuntut satu keputusan yang besar, dalam kematangan yang tak seberapa. Isteri, Fariza Ibrahim, berasal dari Pulau Pinang adalah penuntut Tahun 1, Fakulti Sains di Queensland University of Technology, Brisbane tiada masalah dalam menerima pinangan yang dibuat melalui sepasang seniors masing-masing kebetulan yang menuntut di fakulti yang sama pula. Hanya sebulan selepas pinangan diterima, majlis Walimah dijayakan di Mount Gravatt Mosque, Nursery Road, Holland Park, Brisbane sebagai menyahut saranan Syeikh Sayyid Qandil dari Canberra dimana katanya orang-orang Kristian berkahwin di gereja, sedang ramai pasangan Islam berkahwin di rumah, padahal kita lebih awla (patut) berkahwin di rumah ibadat (masjid) dari mereka. Mungkin ia diantara perkahwinan paling murah kosnya yang pernah saya dengar, hanya AUD20 (~RM50) sebagai Mas Kahwin, sedang kekawan berlumba menghulur untuk belanja Walimah. Keluarga wanita pula tidak menyebut sebarang Wang Hantaran. Saya kira keberkatan rumahtangga yang terasa hingga ke hari ini adalah disebabkan minimanya Mas Kahwin, mudahnya urusan seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Namun disana ada satu faktor lain yang memberkati sebuah perkahwinan. Ia adalah niat berkahwin. Walaupun dalam usia masih muda, tetapi niat ketika itu bukan sahaja untuk menjaga diri hidup di tengah-tengah masyarakat Barat yang permissive (boleh apa sahaja) tetapi menjangkau kepada harapan dengan perkahwinan nanti, saya lebih memahami Dakwah ini dalam suasana yang lebih matang, jauh dari tekanan hidup sebagai seorang bujang di perantauan. Ya, niat kerana Dakwah, bukan kerana selainnya. Begitulah yang difahami di dalam perbincangan usrah tentang Hadis Pertama dari Hadis 40. Selain bernazar jika berjaya pernikahan, saya akan berpuasa 30 hari, tekad anak muda ini ialah bekerja lebih keras untuk Dakwah ini hingga akan berulangalik ke Toowoomba, 90km dari Brisbane, berdakwah kepada pelajar-pelajar baru yang dihantar di sana. Tekad awal seumpama ini atau hampir dengannya ada disebut oleh Syeikh Ahmad Ar-Rashid (penulis Al-Muntalaq) dalam tajuk “Al-Azm Al-Mubakkir” (Berazam Dari Awal) dengan mambawa contoh azam Warqah bin Naufal, sepupu Khadijah ra, kepada Rasulullah saw, “Sekiranya aku masih hidup dihari engkau dihalau oleh kaummu, aku akan menolongmu dengan pertolongan yang sekuat-kuatnya”.

Memang azam dari awal merupakan salah satu bekalan Dakwah yang besar terutama untuk para Duat. Kesannya terhadap keikhlasan, kesungguhan, ketabahan, pengorbanan di jalan Dakwah, ikatan hati terhadap isteri dan anak-anak dapat dirasai walau panjang masa berlalu. Kesannya Niat yang sahih lagi ikhlas bukan sahaja terasa mengalir di dalam diri bahkan di dalam diri zuriat yang kita kasihi walau dekad berganti dekad.


Kepada para mahasiswa sekelian yang saya pernah seperti mereka suatu masa dahulu, juga sesiapa sahaja yang sedang berada diambang perkahwinan, aturilah niatmu dari sekarang, demi masadepanmu yang masih panjang. Sekian.